Thursday, March 22, 2007

SELAMAT DATANG KE LAMAN WEB SK BUKIT BERUANG

Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.
Maklumat Sekolah

Nama Sekolah : SEKOLAH KEBANGSAAN BUKIT BERUANG
Alamat Sekolah : KM 7.2, BUKIT BERUANG, 75450 MELAKA
Kod Sekolah : MBA 2013
No Telefon : 06-2321494
No Faks : 06-2522466
Email : mba2013@jaring.pd
Gred Sekolah : Gred A
Bilangan Kelas : 26 kelas
Bilangan Murid : 1086 orang
Bilangan Guru : 46 orang
Bilangan Staf : 5 orang
Pengawal Swasta : 2 orang
Pekerja Swasta : 4 orang
Kejayaan Tertinggi :
  • Johan Anugerah Kualiti YB Menteri Pendidikan Peringkat Kebangsaan - 2000
  • Naib Johan Pertama Anugerah Sekolah Harapan Negara Peringkat Kebangsaan - 1999

Sejarah

Sekolah Kebangsaan Bukit Beruang lahir kira-kira 97 tahun yang lalu, iaitu pada tahun 1907, dengan kira-kira 30 orang murid dan 3 orang guru termasuk seorang Guru Besar, En. Katib bin Said. Dengan bangunan papan bermotif rumah Melayu Melaka, sekolah ini bermula sebagai sebuah sekolah Melayu, yang dibina dalam persekitaran perkampungan orang-orang Melayu yang berpendapatan rendah hasil kerja sendiri seperti petani dan kerja-kerja kampung yang lain.

Namun, zaman beredar dan Kampung Bukit Beruang juga terus-menerus menerima perubahan demi perubahan. Demikian juga SKBB, sehinggalah negara mencapai kemerdekaan. Seorang demi seorang Guru Besar diamanahkan menerajui sekolah ini, sebagai memenuhi inspirasi pendidikan negara, sesuai dengan peredaran negara ke era kemerdekaan. SKBB sempat diterajui oleh 12 orang Guru Besar sehingga tahun 1978.

Pada tahun 1979, sekolah ini telah mencipta sejarahnya yang tersendiri, dimana buat pertama kali ia menerima seorang Guru Besar wanita, Pn. Fatimah bte. Abu. Beliau telah mencurahkan jasa dan khidmat bakti sehingga ke tarikh 15/8/1991.

Tanggal 16/8/1991, SKBB sekali lagi bertukar teraju, dimana Pn. Hjh. Sahara bte Hj. Mohd. Sudi telah diberi kepercayaan sebagai pemimpin pengurusan bagi mengetuai tenaga pengajar dan staf sokongan seramai 38 orang, dengan bilangan murid yang ada pada ketika itu adalah seramai lebih kurang 700 orang. Bilangan murid yang sedang menuntut di sekolah ini kini telah meningkat kepada 1100 orang. Untuk itu, sebuah lagi bangunan tambahan, Blok Cengal telah dibina pada tahun 1994.

Negara semakin pesat membangun, sektor pendidikan juga tidak mahu ketinggalan. Peningkatan bilangan murid yang begitu mendadak tidak dapat lagi ditampung. Justeru, pada bulan Jun 1999, dengan pembinaan sebuah sekolah baru yang letaknya berhampiran, seramai 400 orang murid SKBB telah dipindahkan ke sekolah tersebut. Namun demikan, berkat kesabaran, ketabahan, ketekunan seluruh warga SKBB termasuk ibu bapa dan murid, wujud SKBB kini – yang telah berjaya membuktikan kecemerlangannya dalam pelbagai bidang – kurikulum dan ko-kurikulum, sementara program Bina Insan serta sikap penyayang yang diamalkan, menyebabkan sekolah ini terus mencipta nama bersama sekolah-sekolah elit di Negeri Melaka khususnya, dan di seluruh negara umumnya.

Setelah persaraan Puan Hjh Sahara Mohd Sudi pada 02 September 2002, SKBB menerima seorang lagi Guru Besar perempuan, Puan Faridah Mohd Fadzil untuk menyambung visi dan misi SKBB. Sebagai sebuah sekolah yang telah dianugerahkan Anugerah Kualiti Menteri Pendidikan 2000 bagi Kategori Sekolah Rendah Bandar, SK Bukit Beruang terus tegak berdiri merealisasikan pendidikan masa kini. Cita-cita ke arah Sekolah BESTARI terus digarap, disusuli dengan keikhlasan dan kesedaran terhadap tanggungjawab mendidik generasi masa depan.

Identiti Sekolah

  • MATLAMAT SEKOLAH


Melahirkan insan yang cemerlang, berakhlak mulia, berilmu, berketrampilan dan berdaya saing dalam pelbagai bidang.

  • OBJEKTIF SEKOLAH

Sekolah Kebangsaan Bukit Beruang dapat melahirkan murid yang:
1. Beragama serta patuh kepada Tuhan
2. Bertanggung jawab terhadap diri, keluarga, masyarakat, agama, bangsa dan negara.
3. Berakhlak mulia, berilmu, berkemahiran dan berketrampilan
4. Sentiasa berdaya saing
5. Cintakan ilmu

  • VISI SEKOLAH

Sekolah Kebangsaan Bukit Beruang adalah sebuah sekolah berprestasi tinggi di semua bidang menjelang Tahun 2007.

  • MISI SEKOLAH

Ke arah merealisasikan visi, warga SKBB berusaha bersungguh-sungguh untuk memberi pendidikan yang berkualiti bagi melahirkan warga yang cemerlang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

  • PIAGAM PELANGGAN SEKOLAH


Kami dengan sedaya upaya akan berusaha membantu pelanggan kami dengan saksama dan terbaik melalui sikap dan perkhidmatan berdasarkan prinsip 8K:

  • Keredhaan Allah, dalam berbakti
  • Keikhlasan tanpa pilih kasih
  • Kreatif dan berpasukan
  • Khidmat berkualiti dan berterusan
  • Kurangkan permasalahan
  • Ke arah sekolah berteknologi maklumat
  • Kesediaan menerima teguran
  • Ketakwaan kepada Allah


No comments: